JAKARTA: Ribuan
rakyat Indonesia menunjuk perasaan di seluruh negara semalam kerana
membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak.
Keganasan dilapor meletus di beberapa kawasan menyebabkan beberapa orang cedera.
Di Jakarta,
pertempuran berlaku antara polis dan sekumpulan pelajar berhampiran
istana presiden, menyebabkan lima anggota polis dan kira-kira 10
penunjuk perasaan cedera, kata jurucakap polis Jakarta, Rikwanto.
Seorang jurugambar AFP melaporkan, kira-kira 500 penunjuk perasaan
melontar batu, bom minyak dan kayu ke arah polis yang kemudian bertindak
menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk
perasaan itu.
“Kumpulan itu
mahu berarak ke istana presiden. Kami menyekat mereka. Tetapi mereka
bertindak dengan merosakkan kemudahan awam,” kata Rikwanto.
Kira-kira 3,500
penunjuk perasaan berkumpul di Jakarta, jauh lebih kecil berbanding
15,000 yang dijanjikan oleh penganjur sebelum ini.
Terdahulu, 300
orang berkumpul di luar Dewan Parlimen di ibu negara Indonesia itu
dengan membawa sepanduk berbunyi: ‘Harga minyak naik, rakyat sengsara.’
Ada juga yang membawa sepanduk menggesa kerajaan Presiden Susilo Bambang
Yudhoyono meletak jawatan.
Kira-kira 100
anggota polis yang hanya dilengkapi dengan belantan dan pelindung
bergelut untuk mengawal penunjuk perasaan yang sebahagian besarnya
terdiri daripada pelajar dan anggota kesatuan sekerja.
Tunjuk perasaan juga dilapor berlaku di bandar besar lain seluruh Indonesia, termasuk Medan dan Surabaya.
Kerajaan bercadang menaikkan harga minyak pada 1 April depan.
Sumber: NST
No comments:
Post a Comment